Sunday, February 13, 2011

Hadiah Buat Abah


As salam semua..

Hari ini hari lahir abah yang ke-53 tahun. Ini juga kali ke tujuh aku sekadar dapat mengucapkan 'semoga panjang umur dan murah rezeki' di kamar hati. Kalaulah abah masih ada..


Aku berkongsi tarikh yang sama dengan abah walau bulan yang berbeza. Kerana itu emak memanggilku anak abah. Dan kenyataannya memang aku anak kesayangan abah walau abah tidak pernah menyatakannya secara zahir di depan adik-adik. 

Satu persamaan yang aku perasan antara aku danabah ialah kami tidak suka menyusahkan orang lain dan mengganggap semua masalah itu dapat diselesaikan sendiri. Banyak lagi persamaan antara aku dan abah sehingga menyebabkan aku tidak sebulu dengan emak. 

Emak kuat membebel dan aku mewarisi sifat itu yang satu selain kebolehan aku memasak. Bukan untuk membangga diri tapi itu kelebihan yang aku ada. Mungkin disebabkan kegarangan dan sifat emak yang suka membebel, aku terasa seperti berada di bumi yang asing apabila berada bersama emak.

Tapi tidak dengan abah. Abah juga segarang singa dan apabila marah memang aku tunduk ke lantai. Pipi ini juga pernah menerima hadiah yang tidak ternilai kerana kedegilan diri sendiri. Berbeza dengan emak. Walaupun mulutnya ringan bercakap tentang itu dan ini tapi emak jarang mengangkat tangan apatah lagi mencubit aku dan adik-adik. Cara mendidik antara emak dan abah yang berbeza pada pandangan mata kasarku.

Abah,

Jika dirimu masih ada lagi di sampingku, pasti abah bangga dengan apa yang telah anakmu capai kini. Kegaranganmu itu menjadikan anakmu ini manusia yang tidak takut gentar kecuali kepadaNya. Pemergianmu ke alam fana telah menjadikan anakmu ini seorang insan yang kuat dan tabah hatinya. Walau sering dilanda dugaan mencabar.

Dari jauh anakmu ini mendoakan semoga abah bahagia dan aman di sana. Dalam setiap doa, tidur dan jaga anakmu sentiasa mengingati akan dirimu. Walau zahirnya anakmu tidak dapat bertemu denganmu lagi. Anakmu kini telah faham akan redha dan pasrah dengan pemergianmu itu. 

Semoga abah berada di bawah lindungan Yang Maha Esa di kalangan muslimin dan muslimat. Anakmu berharap di syurga kelak kita pasti bertemu. Aminn



p/s:Tiada pengganti yang layak untuk dirinya~~