Sunday, June 05, 2011

Sejarah J.Robik part #1

J.Robik adalah satu program kecergasan yang diusahakan oleh Kerajaan Negeri Johor yang menekankan kepada penyertaan menyeluruh dari semua lapisan masyarakat ke arah gaya hidup yang sihat dan cergas.

Y.A.B Menteri Besar Johor dalam satu majlis rasmi di Muar telah mencadangkan satu program senaman khas yang beridentitikan ciri-ciri warisan Johor untuk melahirkan rakyat Johor yang sihat dan cergas supaya dalat menghasilkan produktiviti yang tinggi di samping membina semangat dan memupuk rasa cinta dan sayang kepada Negeri Johor Darul Ta'zim serta menghindari pelbagai penyakit akibat daripada sistem kardiovaskular yang tidak berfungsi dengan baik. Cadangan ini telah mendapat liputan akhbar pada Ogos 2002.

Justeru, dalam pertengahan bulan September 2002, Y.B Tuan Haji Ahmad Zahri (Pengerusi Pendidikan dan Gunatenaga, Belia, Sukan dan Kebudayaan Negeri Johor) telah mengadakan satu perbincangan mengejut di Anjung Warisan Johor Bahru pada jam 5.30 petang yang dihadiri oleh Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor (MSN), Pengarah Yayasan Warisan Johor (YWJ) dan wakil Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor (JBSJ) iaitu Puan Salmah Aziz dan Encik Ruhisyam Ibrahim.

Dalam perbincangan tersebut, YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Gunatenaga, Belia, Sukan dan Kebudayaan Negeri Johor telah memutuskan supaya diadakan satu gerakan senaman kecergasan berteraskan gerak latihan seni mempertahankan diri iaitu Silat Sendeng, Silambam, Tai Chi dan gerak tarian Zapin sepertimana kehendak YAB Menteri Besar Johor. Gabungan gerak-gerak latihan ini mestilah bersesuaian dengan konsep perpaduan antara kaum seterusnya mewujudkan masyarakat cergas dan sihat. Program ini dinamakan 'Johor-Robik' dan melantik Majlis Sukan Negeri Johor (MSN) sebagai pengerusi dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor sebagai setiausaha projek ini.

Pada awal Oktober 2002, Majlis Sukan Negeri Johor telah membuat persembahan gerak J.Robik yang telah diciptakan kepada YB Tuan HajiAhmad Zahri bin Jamil dalam mesyuarat di Stadium Larkin. Setelah dipersembahkan, YB Tuan Haji Ahmad Zahri menyatakan ianya tidak sesuai dan tidak menepati kehendak YAB Menteri Besar Johor. Oleh itu, beliau telah memutuskan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor untuk mengetuai projek ini.


p/s:Tunggu sambungan sejarah J.Robik part #2 ;p